Monday, February 9, 2015

SMK Raja (P) Kelsom `fantasia' di puncak bukit Diraja

Oleh: NOR ZAINAH NORDIN
SMK Raja Perempuan Kelsom Kuala Kangsar, Perak - yang telah diwartakan sebagai warisan sejarah Negeri Perak - merupakan sebuah `istana fantasia' di puncak Bandar Diraja.
Dengan kedudukan topografinya di puncak tertinggi di Bukit Kerajaan, ia berkongsi tarikan dengan Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah, dua mercu tanda pelancongan Negeri Perak.
Sejarahnya pun unik.
Tapak bangunan pusat pentadbiran sekolah itu pada asalnya dimiliki oleh seorang hartawan Melayu yang dikenali sebagai Che Midah.
Ia pernah dirobohkan tiga kali untuk memenuhi cita rasa setiap residen-residen British yang mendiaminya.
Sejak 1977, ia didiami oleh beberapa residen British, iaitu Hugh Low (1877-1889), Frank Swettenham (1857-1896), William H. Treacher (1896-1902) dan J. P. Rodger (1902-1904).
Kali terakhir bangunan induk tersebut diubahsuai ialah pada 1913 untuk dijadikan sebagai `'King's Pavilion'' sebelum dijadikan asrama Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Sesuai dengan `selera' penjajah juga, di tingkat paling atas bangunan induk itu terdapat menara pandang yang boleh meninjau keseluruhan pekan Kuala Kangsar, termasuk pemandangan menarik Sungai Perak dan Sungai Kangsar.
Berikutan sejarah silam yang tersendiri itu, kawasan dan bangunan asal SMK Raja Perempuan Kelsom diwartakan sebagai bangunan sejarah oleh kerajaan negeri Perak.
Selain sejarah bangunan induk, banyak lagi tinggalan zaman kolonial yang masih dipelihara oleh pentadbir sekolah itu. Antaranya ialah tangga banjir yang mencatatkan had banjir yang melanda Kuala Kangsar sejak 1897.
Pelawat yang memasuki pintu besar sekolah itu akan `disambut' dengan sebuah meriam lama. Ia kini dijadikan sebagai mercu tanda sekolah serta tarikan pelancong.
Di hadapan bangunan induk, masih kelihatan tempat bakar surat-surat sulit pihak British yang tidak mahu kandungannya diketahui oleh pemimpin Melayu.
Keindahan landskap, keunikan seni bina serta tinggalan sejarah melayakkan sekolah itu mewakili negeri Perak ke pertandingan akhir Program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah (3K).
Ketika memberi taklimat kepada panel hakim Program 3K, Guru Cemerlang SMK Raja Perempuan Kelsom, Khatijah Abdul Rahman berkata, adalah menjadi hasrat pihak sekolah mengekalkan tinggalan sejarah itu sebagai tarikan pelancongan.
Katanya, ia bukan sebagai mengagung-agungkan penjajah, tetapi sekadar memperingati sejarah Kuala Kangsar yang pernah menjadi pusat pentadbiran British di Perak.
Pada masa yang sama, katanya, konsep sekolah dalam taman terus dilakukan.
Permuafakatan para pelajar, warga pendidik serta agensi kerajaan dan swasta mencetuskan suasana kondusif bagi pembelajaran dan perkembangan sahsiah pelajarnya.
`'Pihak sekolah telah merangka pelan lima tahun bagi meningkatkan keselamatan, kebersihan dan keindahan sekolah,'' katanya.
Misalnya tambahnya, dari aspek keselamatan, pihak pentadbir mahu memasang papan-papan kenyataan mengenai keselamatan di lereng bukit yang curam, tangga dan lorong pejalan kaki ke menara sekolah.
Pihak sekolah juga mengadakan pertandingan keselamatan, mengedar risalah mengenai aspek-aspek itu selain mengamalkan pelabelan bahan kimia di makmal secara teratur.
``Selain itu, bagi pelajar yang menaiki motosikal atau menaiki bot ke sekolah, kami memberikan penerangan umum keselamatan jalan raya dan membekalkan jaket keselamatan,'' ujarnya.
Projek taman angkat juga diperkenalkan.
Sekolah dipenuhi dengan taman-taman yang dianakangkatkan kepada persatuan akademik, beruniform dan tingkatan.
Antara taman-taman itu termasuk Laman Sains, Taman Herba, Taman Hibiscus, Taman Legenda, Taman Kaktus, Taman Balkis, Taman Epifit dan Taman PIBG yang khusus untuk pembelajaran dan pengajaran (P&P).
Dengan bermotokan ``Swarm of Bees'', para pelajar SMK Raja Perempuan Kelsom diharap dapat mencontohi tabiat lebah bagi menjadi rakyat yang berdisiplin, harmoni dan mempunyai jati diri.
Konsep kitar semula diamalkan di sini. Pengasingan sampah-sampah mengikut kategori kaca, besi dan plastik juga dilaksanakan.
Program kesihatan, khususnya penjagaan gigi amat dititikberatkan.
Khatijah berkata, program Bulan Kesihatan diadakan setiap pertengahan tahun dengan menggunakan tema-tema tertentu yang dikira relevan dengan perkembangan semasa.
Mengenai Program 3K, katanya sekolah itu akan mengekalkan ciri-ciri uniknya, dan pada masa yang sama membina taman-taman di tempat yang sesuai dan strategik.
Disiplin di sekolah itu juga terkawal, dengan statistik salah laku kurang daripada satu peratus.
Tahap disiplin yang tinggi ini dapat `diukur' berdasarkan kelas yang berhias indah, langsir dan lapik meja.
Pertandingan kebersihan antara kelas juga diadakan setiap minggu.
Kata Khatijah, sikap bertanggungjawab dan berdisiplin melancarkan program 3K kerana tidak diganggu dengan `kenakalan' grafiti.
Selain itu, peraturan sekolah yang menetapkan `sebuah tandas untuk setiap kelas' juga mencerminkan sikap pengguna


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm#ixzz3REkNXdmL 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PANTUN AGAMA


Pantun Agama



Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di pusara paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tidak boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah

 MAKSUD

Rangkap 1
Sekiranya kita tidak mengerjakan suruhan Tuhan di dunia, di akhirat nanti kita tidak akan mendapat ganjarannya.

Rangkap 2
Dunia bukanlah tempat yang kekal bagi semua makhluk, akhirat jualah tempat yang abadi.

Rangkap 3
Orang alim juga tidak lepas dari berbuat dosa, apatah lagi kita orang biasa. Sudah tentu banyak berbuat dosa.

Rangkap 4
Kita akan menyesal pada kemudian hari jika tidak mengerjakan ibadah sembahyang.

Rangkap 5
Pakaian tidak melambangkan darjah kealiman seseorang tetapi melalui amalannya.

Rangkap 6
Kita hendaklah sentiasa mengikuti ajaran atau perintah Allah bukanlah mengikut kehendak hati sendiri.

Amalan Gaya hidup Sihat

Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
.
.
..........
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
...........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
...........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.