PANTUN AGAMA
Pantun Agama
Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di pusara paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.
Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.
Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.
Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.
Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.
Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tidak boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah
MAKSUD
Rangkap 1
Sekiranya kita tidak mengerjakan suruhan Tuhan di dunia, di akhirat nanti kita tidak akan mendapat ganjarannya.
Rangkap 2
Dunia bukanlah tempat yang kekal bagi semua makhluk, akhirat jualah tempat yang abadi.
Rangkap 3
Orang alim juga tidak lepas dari berbuat dosa, apatah lagi kita orang biasa. Sudah tentu banyak berbuat dosa.
Rangkap 4
Kita akan menyesal pada kemudian hari jika tidak mengerjakan ibadah sembahyang.
Rangkap 5
Pakaian tidak melambangkan darjah kealiman seseorang tetapi melalui amalannya.
Rangkap 6
Kita hendaklah sentiasa mengikuti ajaran atau perintah Allah bukanlah mengikut kehendak hati sendiri.
No comments :
Post a Comment